mouse

Blogger Templates

Saturday, April 13, 2013

APa KiTa TaHu TEnTanG KAhWin???




1.0 DEFINISI PERKAHWINAN
       Perkahwinan ialah satu akad yang menghalalkan hubungan di antara lelaki dengan perempuan untuk hidup bersama dan menetapkan tiap-tiap pihak daripada mereka hak-hak dan tanggung jawab masing-masing. Dalam erti yang lain ialah, suatu akad yang menghalalkan persetubuhan dengan sebab perkataan yang mengandungi lafaz nikah, perkahwinan dan sebagainya.
Allah berfirman dalam surah An-Nisaa’ ayat 3, ertinya : “Dan jika kamu takut tidak akan dapat berlaku adil (bila menikah) anak-anak yatim, maka nikahilah wanita-wanita (lain) yang kamu senangi, dua, tiga atau empat.Tetapi, jika kamu takut tidak dapat berlaku adil, maka seorang sajalah, atau hamba sahaya yang kamu miliki.Yang demikian itulah yang lebih memungkinkan kamu terhindar dari berlaku sewenang-wenangnya.”
        Dari ayat tersebut di atas, dapat diambil penjelasan bahawa seorang lelaki disuruh oleh Allah Taala untuk berkahwin jika berkemampuan, sehingga kepada empat orang isteri dengan cara berlaku adil terhadap mereka sepertimana yang ditentukan oleh syarak. Sebaliknya jika berasa bimbang tidak dapat berlaku adil terhadap mereka maka berkahwinlah dengan seorang sahaja. Allah berfirman, ertinya :
“Wahai manusia ! Bertaqwalah kamu kepada Tuhanmu, yang telah menjadikan kamu dari satu diri, dan daripadanya dijadikanNya serta dari keduanya Dia memperkembang biakkan lelaki dan perempuan yang banyak. Bertaqwalah kepada Allah yang kamu telah bertanya tentang namaNya yang peliharalah keluargamu. Sesungguhnya Allah Pengawas atas kamu.”
         Di antara hadis Rasulullah SAW yang menerangkan mengenai perkahwinan adalah sebagaimana berikut – ertinya :
 “Diriwayatkan dari Abdullah bin Mas’ud katanya, Rasulullah SAW bersabda kepada kamu:  Wahai kumpulan anak-anak muda ! Barangsiapa di antara kamu yang mampu berkahwin hendaklah berkahwin. Kerana sesungguhnya perkahwinan itu menutup pandangan dan memelihara kemaluan. Tetapi barang siapa yang tidak mampu, maka hendaklah dia berpuasa sebab yang demikian itu akan menahan nafsunya.”
Hadis di atas telah menjelaskan bahawa Rasulullah SAW telah memerintahkan umatnya yang mempunyai kemampuan dan keupayaan yang mencukupi supaya berkahwin, kerana perkahwinan merupakan tuntutan syariat dan sunnah Nabi SAW selain dapat memlihara seseorang.  Antara faedah yang ketara di sini ialah  seseorang itu dapat  menjauhkan diri dari perkara negatif atau perbuatan keji yang dilarang oleh Allah Taala seperti berbuat zina dan sebagainya.  Sekiranya seseorang itu tidak mampu berkahwin hendaklah dia berpuasa itu dapat mengekang nafsu syahwat.
Islam telah mengadakan beberapa peraturan hukum perkahwinan dan garis panduan yang sempurna sebagai panduan agar manusia tidak akan tergelincir ke dalam kerosakan dan kehancuran kerana sudah menjadi fardhu ain terhadap orang Islam dan mengaku dirinya Islam wajib mempelajari hukum-hukum Allah termasuk hukum nikah cerai dan rujuk. Perkahwinan hendaklah diasaskan kepada beberapa faktor penting untuk menjamin kebahagiaan antaranya ialah :
  1. Perkahwinan diasaskan dengan rasa taqwa kepada Allah.  Tanpa taqwa, dikhuatiri perkahwinan itu tidak akan mencapai kepada matlamatnya, tambahan pula berkahwin itu juga merupakan ibadat dan sunnah.
  2. Perkahwinan hendaklah juga diasaskan kepada rasa Al Mawaddah dan Ar Rahman.  Tanpa dua perkara ini perkahwinan akan hancur dan tinggallah cita-cita sahaja.
  3. Sesebuah rumahtangga juga perlu diasaskan kepada dasar hidup bersama secara yang baik dan diredhai Allah SWT.  Maka itulah yang biasa disebut Al Mu’assarah Bi Al Maaruf.
  4. Perkahwinan juga berasaskan kepada amanah dan tanggungjawab bukannya kehendak nafsu semata-mata.  Suatu amanah hendaklah ditunaikan dengan sebaik-baiknya, sementara tanggungjawab dilaksanakan dengan jujur dan ikhlas hati.

HIKMAH PERKAHWINAN

        Setiap ciptaan Allah SWT mempunyai faedah dan hikmahnya yang tersendiri.Faedah dan hikmah tersebut boleh dilihat dan difikir oleh akal manusia, hanya Allah Taala sahaja yang mengetahuinya. Begitulah juga dengan perkahwinan, mempunyai faedah dan seterusnya kepada masyarakat Islam.
          Di antara faedah dan hikmahnya ialah : Supaya manusia itu hidup berpasangan menjadi suami isteri yang sah bagi mengatur dan membangunkan rumahtangga dengan janji-janji setia (akad nikah) sehidup semati, kerana dengan perkahwinan kaum hawa tidaklah dianiaya seperti semasa zaman jahilliyah yakni zaman sebelum kedatangan islam.
             Supaya perhubungan lelaki dan wanita akan lebih bermakna lagi di sisi Allah dengan ikatan dan pertalian yang kukuh di mana tidak mudah putus atau diputuskan. Selain itu, Membangunkan masyarakat dari asas-asas rumahtangga yang damai dan berdisiplin. umat manusia juga dapat berkembang dan membiak bagi meramaikan dan memakmurkan bumi Allah yang luas ini. Justeru itu timbullah perasaan mahabbah, kasih sayang, tanggungjawab seorang suami kepada isteri, seorang bapa kepada anaknya, seorang datuk kepada cucunya dan seterusnya dari sebuah masyarakat kepada negara.
Dalam erti kata lain, perkahwinan adalah peraturan dari Allah Taala yang diturunkan untuk kebaikan seluruh masyarakat manusia bagi mencapai kebahagiaan umat dengan baik dan sempurna. Jika keadaan rumahtangga itu kucar kacir dan tidak kukuh, maka keadaan umat itu juga turut lemah dan sengsara akhirnya sedangkan semua gama yang ada di muka bumi ini mengiktirafkan perkahwinan.

HUKUM-HUKUM PERKAHWINAN

       Hukum asal suatu perkahwinan adalah harus sahaja tetapi dalam sesetengah keadaan dan situasi hukumnya berkemungkinan boleh berubah menjadi wajib, sunat, haram dan makruh di mana sesuai dengan keadaan yang dihadapi seseorang yang akan menempuh alam perkahwinan. Huraiannya adalah seperti berikut :-
         Perkahwinan yang wajib apabila orang yang diwajibkan berkahwin ialah orang yang sanggup untuk berkahwin, sedang ia mengkhuatiri terhadap dirinya akan melakukan perbuatan zina. Oleh itu, beliau berkahwin kerana dibimbangi akan berlakunya perkara yang tidak diingini. Perkahwinan menjadi sunat apabila seseorang yang disunatkan untuk berkahwin ialah orang yang mempunyai kesanggupan untuk berkahwin dan sanggup memelihara diri dari kemungkinan melakukan perbuatan yang terlarang.
Perkahwinan yang haram apabila orang yang diharamkan berkahwin ialah orang yang mempunyai kesanggupan untuk berkahwin tetapi kalau ia berkahwin diduga akan menimbulkan kemudharatan terhadap pihak yang lain seperti orang gila, orang yang suka membunuh atau mempunyai sifat-sifat yang dapat membahayakan pihak yang lain dan sebagainya. Terjadinya perkahwinan yang makruh dimana orang yang makruh hukumnya berkahwin ialah orang yang tidak mempunyai kesanggupan untuk berkahwin (dibolehkan melakukan perkahwinan) tetapi ia dikhuatiri tidak dapat mencapai tujuan perkahwinan. Oleh itu dianjurkan sebaliknya ia tidak melakukan perkahwinan.

No comments:

Post a Comment