mouse

Blogger Templates

Saturday, April 13, 2013

AnTAra SeBaB-SeBAb NAbi KAhWiN LebIh DaRI 1


3.0  Sebab- Sebab Nabi Berkahwin Lebih Dari Satu
Kenapa Nabi Muhammad SAW boleh beristeri lebih daripada empat sedangkan Islam hanya mengehadkan poligami kepada 4 orang isteri sahaja pada satu masa? Mungkin jawapan yang paling mudah ialah kerana ianya khusus untuk Baginda Rasulullah s.a.w sahaja sebagai pesuruh Allah s.w.t. Namun begitu, ada perspektif berbeza dalam memberi penjelasan mengenai perkara ini.
Perbuatan Nabi berkahwin lebih daripada empat sebenarnya bukanlah menghalalkan apa yang diharamkan kepada sekalian umat manusia lain. Tetapi sebenarnya, ketika itu syariat masih belum menghadkan perkahwinan kepada empat orang isteri dalam satu masa. Pada masa itu, sudah menjadi amalan penduduk Arab berkahwin ramai lebih daripada empat, mengikut kepentingan dan hawa nafsu tanpa ada garis panduan tentang kebajikan isteri dan keluarga. Sehinggalah Allah mensyariatkan supaya dibenarkan seorang lelaki berkahwin hanya empat wanita saja dalam satu masa demi menjaga kebajikan para isteri.
Setelah turun ayat Al-Quran yang menghadkan bilangan isteri kepada empat orang pada akhir tahun ke-8 hijrah, hanya 3 tahun sebelum kewafatan Nabi S.A.W. para sahabat diminta memilih isteri yang mereka mahu kekal bersamanya sekadar empat dan menceraikan selebihnya. Oleh kerana syara' juga mengharamkan para sahabat untuk berkahwin dengan bekas isteri Rasulullah kerana mereka dianggap Ummahaatul Mukminin (ibu sekalian orang beriman), maka Nabi tidak menceraikan mereka supaya tidak menzalimi mereka dan tidak berkahwin lain selepas itu.
Jadi, Nabi diizinkan beristeri lebih daripada empat bukan kerana nafsu semata-mata pengkhususannya sebagai seorang Nabi Allah. Tetapi kerana perkahwinan telah berlaku dan perbuatan menceraikan isteri-isteri Nabi boleh menzalimi para Ummahaatul Mukminin kerana akan meninggalkan mereka hidup tanpa suami selepas Nabi.
Golongan barat juga pernah menuduh Nabi S.A.W. sebagai 'pedophile' kerana berkahwin dengan Aishah ketika berumur 9 tahun. Sedangkan sebenarnya amalan tersebut bukan khusus untuk Nabi S.A.W. Malahan amalan masyarakat Arab zaman itu. Jika dilihat kepada isteri Nabi yang lain semasa mengahwini Nabi, mereka sudah bergelar janda semasa berumur 17, 21 atau 25 tahun. Bermakna mereka sudah berkahwin lebih muda daripada itu. Malah ada yang pernah berkahwin sebelum itu lebih daripada sekali.
Sehingga sekarang, di tanah Arab masih ada amalan mengahwinkan anak seawal 13, 14 tahun. Kita tidak berhak menghukum tindakan mereka salah kerana itu sudah amalan mereka. Begitu juga dengan amalan masyarakat kita yang sudah menjadi kebiasaan anak-anak dara masih belum berkahwin sedangkan umur sudah mencecah 30 tahun. Sehingga timbulnya gelaran andartu. Mungkin amalan kita pula yang menjadi satu kepelikan bagi mereka.
Terdapat banyak hikmah yang dapat dikaji daripada keizinan ini kepada Nabi Muhammad s.a.w. Nabi tidak pernah bertindak mengikut hawa nafsunya kerana baginda maksum, ditarbiyah dan di pelihara oleh Allah Ta’ala. Semua perbuatan baginda adalah terpuji. Nabi tidak pernah marah dan membalas dendam untuk mengambil hak-haknya, akan tetapi marahnya baginda adalah jika hak-hak Allah dicerobohi, marah Nabi adalah jika hak-hak agama ditentang dan dipermainkan. Mari kita lihat beberapa hikmah kepada pernikahan Nabi yang semuanya berjumlah 9 orang dalam satu masa.

4.0 HIKMAH MENDIDIK DAN MENTARBIYAH;
Ini dapat dilihat dengan jelas apabila isteri-isteri nabi yang merupakan ibu-ibu kepada seluruh umat islam menjadi ilmuan yang terkenal dan dihormati oleh para sahabat. Lebih khusus lagi mereka inilah yang mengajarkan kita ilmu-ilmu rumahtangga dan apa-apa permasalahan hukum hakam berkaitan dengan wanita. Kita mengetahui petunjuk-petunjuk Nabi tatkala Nabi bermuamalah bersama isteri-isterinya melalui Ummahatil Mukminin. Bagaimana cara-cara yang diajarkan baginda dalam masalah perhubungan suami isteri, dalam permasalahan haid dan nifas, dalam permasalahan tandas dan sebagainya. Ummul mukminin Aisyah binti Abu Bakar adalah isteri Nabi yang paling berilmu. Paling dihormati dari sudut keilmuaannya oleh para sahabat yang telah banyak meriwayatkan hadis-hadis Nabi. Justeru inilah kesan yang dapat dilihat hasil daripada pernikahan baginda yang sebenarnya bertujuan tarbiyah dan mendidik serta melahirkan seorang wanita mukminah yang memahami dan beramal dengan tuntutan agama. Sebagai contoh hadis dalam sohih bukhari dan muslim yang diceritakan oleh Ummu Salamah Radiyallahu anha berkata; “Telah datang seorang perempuan kepada Nabi lalu berkata; “Wahai Rasulullah, sesungguhnya Allah tidak malu daripada perkara-perkara yang hak, adakah seorang wanita wajib mandi jika dia bermimpi?” Nabi menjawap kepadanya; (Ya, jika dia melihat air).
4.1 Hikmah Pensyariatan
Banyak hikmah dan manfaat yang dapat diambil daripada pernikahan Nabi yang ramai itu. Ianya melibatkan pensyariatan kepada agama ini dan menjelaskan kepada beberapa hukum islam itu sendiri. Islam membatalkan beberapa hukum-hukum jahiliyyah yang tersohor ketika itu. Sebagai contoh permasalahan berkaitan dengan anak angkat. Arab jahiliyyah mengaggap bahawa anak angkat menjadi pewaris dan mewariskan, haram dinikahi dan sebagainya yang mengambil hukum seorang anak kandung. Nabi juga pernah mengambil anak angkat bernama Zaid bin Harithah yang akhirnya menceraikan isterinya bernama Zainab binti Jahsyin disebabkan beberapa pertelingkahan rumahtangga diantara mereka.
Nabi meminati Zainab binti Jahsyin setelah diceraikan. Lalu Allah memerintahkan agar dinikahi oleh Nabi. Tetapi kerana Nabi risau kepada percakapan orang-orang munafik dan fitnah yang bakal ditimbulkan maka nabi melengah-lengahkannya. Pasti mereka akan mengatakan “Muhammad telah menikahi isteri kepada anaknya (Zaid)”. Akhirnya turun ayat yang menyangkal tindakan Nabi itu. Allah berfirman dalam al-Ahzab ayat 37 yang maksudnya:
“dan (ingatlah Wahai Muhammad) ketika Engkau berkata kepada orang Yang telah dikurniakan oleh Allah (dengan nikmat Islam) dan Yang Engkau juga telah berbuat baik kepadanya: "Jangan ceraikan isterimu itu dan bertaqwalah kepada Allah", sambil Engkau menyembunyikan Dalam hatimu perkara Yang Allah akan menyatakannya; dan Engkau pula takut kepada (cacian manusia padahal Allah jualah Yang berhak Engkau takuti (melanggar perintahNya). kemudian setelah Zaid selesai habis kemahuannya terhadap isterinya (dengan menceraikannya), Kami kahwinkan Engkau dengannya supaya tidak ada keberatan atas orang-orang Yang beriman untuk berkahwin Dengan isteri-isteri anak-anak angkat mereka, apabila anak-anak angkat itu telah selesai habis kemahuannya terhadap isterinya (lalu menceraikannya). dan sememangnya perkara Yang dikehendaki Allah itu tetap berlaku.”
Lihatlah hikmah daripada pernikahan ini yang ianya datangnya daripada arahan Allah. Sebab itulah Zainab bt Jahsyin berbangga dengan pernikahan ini dan ianya menjadi satu-satunya aset termahal beliau kerana dinikahkan oleh Allah daripada atas langit. Dalam sohih Bukhari dinyatakan bahawa Zainab berbangga ke atas isteri-isteri Nabi yang lain dan berkata; “Kamu semua dikahwinkan oleh ahli keluarga masing-masing, sedangkan aku dikahwinkan oleh Allah daripada atas langit yang tujuh”. Dengan pernikahan Nabi ini, maka terbatallah beberapa hukum jahiliyyah dan persepsi buruk mereka kerana Nabi telah menikahi bekas isteri kepada anak angkatnya. Maha suci Allah yang tidak menciptakan sesuatu dengan sia-sia.
4.2 Hikmah Sosial dan Kemasyarakatan;
Ini dapat dilihat daripada perkahwinan Nabi dengan Aisyah yang merupakan anak kepada Abu Bakar as-Siddiq. Insan yang paling banyak menyumbang kepada agama Allah. Yang paling banyak membantu baginda dari semua aspek sehingga tidak mampu dibalas oleh Nabi. Kemudian pernikahan Nabi dengan Hafsah binti Umar al-Khattab. Pernikahan ini amatlah menggembirakan Abu Bakar dan Umar yang masing-masing menawarkannya kepada baginda. Dengan pernikahan ini juga menjadikan hubungan kekeluargaan semakin erat dikalangan kabilah Quraish yang terkenal. Ini secara langsung menjadikan hati orang-orang kafir Mekah semakin hampir terhadap dakwah Nabi. Demikianlah pernikahan Nabi dengan anak perempuan Abu Sufian yang mana Abu Sufian ketika itu masih kafir. Apabila sampai khabar berita itu kepada Abu Sufian, beliau tidak membantah sekalipun, bahkan memujinya sedangkan beliau ketika itu amat memusuhi Nabi. Ini kerana mereka mengetahui bahawa nabi Muhammad adalah insan yang mulia, bertanggungjawab bahkan sangat jujur (al-amin) seperti diakui sendiri oleh kafir Quraish sebelum perutusan Nabi.
Perkahwinan ini menjadi kebanggaan kepada bapa-bapa mertua Nabi. Menjadi kemulian kepada mereka dan secara langsung menguatkan hubungan mereka secara nasab dan perbesanan. Justeru hikmahnya dapat diketahui melalui hikmah social dan amatlah salah jika perkahwinan ini hanya dikaitkan dengan nafsu semata-mata. Amatlah salah sama sekali, biadap bahkan menjadi kafir jika Nabi dipersendakan dengan sebab perkahwinan baginda yang ramai ini. Semua yang dilakukan oleh Nabi ini telah mendapat keredhaan Allah, maka siapakah kita untuk mempertikaikan? Bahkan para Anbiya’ sebelum baginda dikalangan Bani Israel lebih banyak bilangan isteri mereka berpuluh kali ganda berbanding Nabi Muhammad. Umpamanya Nabi Sulaiman, mengapakah tidak timbul prejudis terhadap beliau menurut pandangan orientalis? Jelaslah bahawa kedengkian mereka terhadap islam dan Nabi menjadikan mereka mencari-cari kelemahan tertentu yang kononnya boleh menjadi umpan bagi memesongkan akidah umat islam.
4.3 Hikmah Politik
Perkahwinan seringkali menjadi penyumbang kepada perubahan banyak pihak. Sekurang-kurangnya ianya memberi kesan samada positif mahupun negatif kepada hidup seseorang. Sebab itu islam melarang wanita mengahwini golongan kafir dan membenarkan muslimin mengahwini kafir ahli kitab. Ikatan individu terhadap sesuatu kaum melalui pernikahan menjadi kuat, permusuhan menjadi kurang, dan hati semakin terbuka untuk menerima sesuatu pandangan. Demikian diterimanya dakwah Nabi oleh kaum arab jahiliyyah yang sangat kasar tabiatnya. Lihatlah bagaimana kehebatan siasah atau politik Nabi dalam menjalankan tugas dakwahnya.
Mari kita lihat beberapa contoh perkahwinan Nabi yang melibatkan hikmah politik. Sebagai contoh, perkahwinan Nabi dengan Juwairiyah binti al-Harith. Bapa Juwairiyah adalah ketua kaum bani al-Mustoliq. Juwairiyah ini telah ditawan bersama ahli keluarganya setelah tewas dalam peperangan. Maka beliau datang kepada Nabi meminta supaya dibebaskan daripada menjadi tawanan kaum muslimin dengan meminta bantuan kewangan daripada Nabi. Nabi telah menawarkan kepada Juwairiyah untuk membayar pampasan baginya dan mahu menikahi dirinya. Juwairiyah telah menerima lamaran tersebut dan bersetuju menjadi isteri baginda. Tatkala para muslimin mengetahuinya mereka berkata; “Besan kepada Nabi dibawah tawanan kita?”. Maka mereka membebaskan semua tawanan yang punya hubungan persaudaraan dengan Juwairiyah yang jumlah mereka 100 keluarga. Akhirnya mereka semua memeluk islam setelah melihat penghormatan muslimin terhadap keluarga tersebut. Rujuk kisah ini dalam sunan Abi Daud no 3429 “Bab Fi Bai’e Makatib…”. Lihatlah ketinggian politik Nabi yang akhirnya menjadi sebab kepada keislaman mereka!
Demikianlah juga hal pernikahan Nabi dengan Sofiah binti Huyai yang merupakan anak kepada seorang pembesar Yahudi Khaibar (Huyai bin Akhtob). Hal yang sama juga berlaku dalam kes pernikahan Nabi dengan anak Abu Sufian bernama Ramlah yang kematian suaminya. Ramlah telah memeluk islam ketika di Mekah dan berhijrah ke Habsyah. Disanalah suaminya meninggal dunia yang menyebabkan Ramlah binti Abu Sufian keseorangan dibumi asing. Apabila Nabi mendapat khabar, lalu baginda menghantar surat kepada Najasyi untuk menikahinya. Betapa gembiranya Ramlah apabila dimaklumkan hal itu oleh Najasyi, kerana Ramlah mengetahui bahawa pasti dia dipaksakan kepada kafir jika kembali ke Mekah dan tinggal bersama keluarganya.
Pernikahan ini menjadi sebab kepada kurangnya seksaan terhadap umat islam di Mekah. Ianya juga telah melunakkan hati golongan kafir Bani Umayyah kepada islam disebabkan ikatan perkahwinan ini. Demikianlah diantara hikmah-hikmah pernikahan baginda melebihi 4 orang dalam satu-satu masa. Ianya didasari niat dakwah. Ianya adalah dengan keizinan Allah dan ianya adalah kemulian kepada Nabi yang Allah mengharamkan orang islam menikahi isteri-isteri Nabi setelah kewafatan baginda pada tahun 10 Hijrah.
Diantara maklumat terpenting yang wajar diketahui ialah, semua isteri-isteri Nabi adalah janda kecuali Aisyah binti Abu Bakar sahaja. Ini menjadi bukti jelas bahawa perkahwinan Nabi adalah didasari oleh iman, sifat rahmah, memelihara akidah, tarbiyah, siasah, dan lain-lain lagi maslahat umum melibatkan umatnya.

No comments:

Post a Comment